Tamin (duduk kerusi roda) yang pernah berkhidmat sebagai Tentera British kini hidup serba kekurangan. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Tamin (duduk kerusi roda) yang pernah berkhidmat sebagai Tentera British kini hidup serba kekurangan. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Tampin: Kenangan bertugas sebagai anggota tentera di bawah pemerintahan British pada suatu masa dahulu menjadi saat cukup indah buat Tamin Sudin.

Tamin, 91, berkata, dia adalah bekas anggota tentera British yang ditugaskan di Pasir Panjang, Singapura selepas menyertainya ketika berusia 20 tahun pada 1950.

Katanya, dia berhenti pada 1966 selepas kerajaan Singapura ketika itu bertukar pemerintahan dan dalam masa sama, Malaysia sudah dibentuk.

"Bagi saya ia satu kenangan terindah kerana sempat menjadi perajurit negara ketika di zaman pemerintahan British biarpun bertugas di Singapura.

"Dua tahun selepas menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera British, saya diterima menjadi peneroka di Felda Bukit Jalor, Tampin.

"Walaupun usia saya sudah semakin hampir di penghujung dan menghidap penyakit angin ahmar sejak 30 tahun lalu, semangat demi negara tercinta tidak pernah luntur sehingga kini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Jalor, di sini, semalam.

Warga emas itu dikunjungi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) yang menyampaikan sumbangan kerusi roda.

Tamin berkata, setiap orang tahu mereka berjuang bersama tentera British mempertahankan tanah air dan sebagai Bekas Veteran Tentera British, dia sedia menceritakan sejarah itu.

Menurutnya, ketika ini, dia hidup bersama dua anak yang setia menjaganya selepas isterinya meninggal dunia, tujuh tahun lalu.

"Saya diserang penyakit angin ahmar sejak hampir 30 tahun lalu dan sejak itu tidak mampu bergerak jauh dan hanya menggunakan kerusi roda uzur.

"Saya bergantung kepada Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300 sebulan sejak 18 tahun lalu dan ia digunakan untuk membeli keperluan dapur dan selebihnya dibantu anak, Zainal Tamin, 58, dan Kamariah Tamin, 50.

"Mungkin kerana saya dulu berkhidmat dengan tentera British dan bukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), saya tidak layak mendapat bantuan lain sebagai bekas perajurit tanah air," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PERKASIH N9, Vira Hashim berkata, pihaknya ada melawat sebulan lalu dengan membawa barangan makanan asas selepas mendapat tahu situasinya.

Katanya, bekas perajurit negara itu kemudian memohon kerusi roda baru kerana kerusi roda digunakan ketika ini terlalu uzur dan sering rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:17 PM