Mohd Noorhisham (tengah) bersama pekerjanya di hadapan premis FA Hisham Autoglass, Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.
Mohd Noorhisham (tengah) bersama pekerjanya di hadapan premis FA Hisham Autoglass, Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.
Pekerja mahir menukar cermin kereta.
Pekerja mahir menukar cermin kereta.

PERNAH bekerja di sebuah kilang dekat Petaling Jaya, Selangor sebagai pakar proses mekanikal sebelum syarikat ditutup atas faktor ekonomi dan berlaku pembuangan pekerja.

Namun ia tidak pernah melunturkan semangat Mohd Noorhisham Ab Rahman membuka perniagaan sendiri berbekalkan minat dan pampasan yang di terima menerusi sistem pemberhentian pekerja.

Mohd Noorhisham, 47, mengusahakan kedai pemasangan cermin kereta, FA Hisham Autoglass sejak tiga tahun lalu di premis yang terletak di Samudera Business Park, Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.

Menurutnya, berbekalkan modal permulaan RM50,000 dia bersyukur selepas perniagaannya itu semakin berkembang maju sekalipun bermula tanpa sebarang kemahiran mengenai penukaran cermin kenderaan.

"Selepas diberhentikan kerja dari kilang. Saya kemudiannya mengambil keputusan belajar mengenai selok-belok menukar cermin kereta daripada adik ipar, Ahmad Kamal Sahari yang juga pengurus di AKS Autoglass di Kajang. Saya menjalani latihan pemasangan dan sebagainya untuk proses pemasangan cermin kereta selama tiga bulan.

"Jadi semua prosedur operasi standard (SOP) mengikut pada ketetapan AKS Autoglass Kajang yang sudah beroperasi lebih 12 tahun." kata Mohd Noorhisham yang berasal dari Kelantan.

Selain AKS Autoglass Kajang, dua lagi premis perniagaan yang turut diusahakan oleh keluarga mereka adalah Nizam Autoglass di Seksyen 25 Shah Alam yang sudah beroperasi lima tahun dan terbaru Nizam Autoglass, Kota Warisan, Sepang yang beroperasi tahun lalu.

Menurut Mohd Noorhisham, perniagaan yang diuruskannya sendiri olehnya dengan bantuan isteri serta tiga tenaga pekerja mahir mensasarkan pelanggan sekitar daerah Gombak, Selayang, Bukit Tinggi dan Lembah Klang.

"Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu kita juga melakukan operasi penukaran cermin secara mobile tidak melebihi 7 kilometer sahaja.

"Kos upah pemasangan cermin adalah antara RM150 hingga RM250 bergantung kepada kenderaan. Penukaran cermin turut membabitkan tuntutan insuran dan bayaran tunai." katanya yang mengakui cabaran membuka perniagaan yang memerlukan kesabaran tinggi dan usaha gigih.

Dia berharap perniagaannya itu akan lebih berkembang maju pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 9:34 PM