Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Kecekalan pasangan suami isteri menjaga orang tua mereka yang lumpuh di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Felda Seberang Tayor, di sini, mengundang rasa sebak.

Fakruddin Mamat, 34, bersama isterinya, Sabariah Abdul Wahab, 41, setia menjaga Mamat Ismail, 82, yang terlantar selepas diserang angin ahmar hampir setahun lalu.

Fakruddin berkata, menjadi tanggungjawab dia dan isteri menjaga bapanya.

"Saya bersama isteri dan dua anak tinggal di sini (Felda Seberang Tayor) bersama ayah dan ibu, Fatimah@Semek Abdullah,77, yang juga lumpuh separuh badan akibat angin ahmar.

"Sebelum ini, memang fokus pada ibu yang lumpuh sejak 10 tahun lalu tetapi tanggungjawab lebih besar apabila ayah pula terlantar dan memerlukan bantuan sepenuhnya untuk menguruskan diri.

"Setiap kali hujan lebat, memang susah hati kerana kesihatan kedua orang tua namun sebelum ini, saya akan menghantar mereka ke rumah kakak di Bandar Chukai," katanya yang bekerja sebagai mekanik.

Menurutnya, tahun ini, dia hanya menghantar ibunya ke rumah kakak manakala bapanya dibawa ke PPS bersama keluarganya.

"Keadaan ayah yang terlantar menyebabkan saya mengambil keputusan membawa dia tinggal di PPS bersama kami kerana ayah memerlukan penjagaan rapi.

"Kalau hantar ke rumah kakak, ayah perlu menempuh perjalanan yang jauh kerana ada laluan dinaiki air selain perlu menaiki kenderaan khas.

"Mujurlah di sini, ayah diberi ruangan khas dan sedikit sebanyak ia membantu saya dan isteri.

"Ini kali ketiga kami berpindah dan sebenarnya kali ini air tidaklah naik tinggi berbanding banjir kali kedua pada Disember lalu.

"Namun kami berpindah awal kerana bimbang air naik semakin tinggi pada waktu malam memandangkan ayah tidak sihat selain mempunyai dua anak yang masih kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 11:51 AM
FAKRUDDIN menjaga bapanya di Dewan Felda Seberang Tayor. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
FAKRUDDIN menjaga bapanya di Dewan Felda Seberang Tayor. FOTO Zatul Iffah Zolkiply