Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan dijangka mengalami enam episod hujan lebat bermula November sehingga Mac tahun hadapan, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim hari ini.

Beliau berkata, hujan lebat berkenaan dijangka boleh mengakibatkan Kelantan dilanda banjir.

"Sebagai persediaan menghadapi banjir, 170 pusat pemindahan sementara (PPS) perlu diaktifkan. Sejumlah 1,600 aset termasuk bot dan kenderaan pacuan empat roda juga akan digerakkan jika banjir melanda.

"Setakat ini, Kelantan hanya mengalami banjir kilat baru-baru ini, namun hasil perbincangan dilakukan, semua pihak sudah bersiap sedia bagi menghadapi banjir.

"Setiap PPS juga hanya boleh menempatkan 50 peratus mangsa bagi mengelak penularan Covid-19," katanya.

Dr Aminuddin menghadiri taklimat berhubung persiapan banjir di Kelantan, di Bilik Gerakan Negeri, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Dr Aminuddin menghadiri taklimat berhubung persiapan banjir di Kelantan, di Bilik Gerakan Negeri, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat berhubung persiapan banjir di Kelantan di sini.

Aminuddin berkata, Nadma turut menyalurkan bantuan RM50,000 kepada setiap daerah di Kelantan untuk kegunaan ketika banjir selama lima bulan sehingga Mac depan.

"Pada masa sama, RM20,000 turut disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

"Selain itu, Nadma juga memperuntukkan RM1.3 juta untuk kerja membaik pulih beberapa PPS di Kelantan bagi memastikan keselesaan mangsa," katanya.

Aminuddin berkata, Nadma sudah mengenalpasti 6,500 anggota yang akan bertugas ketika banjir membabitkan pelbagai agensi keselamatan.

"Sebanyak 3,000 kit makanan untuk mangsa banjir juga sudah dihantar ke depoh pangkalan hadapan yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 2:57 PM