Mohamed Farid Noh


Batu Pahat: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diarah menubuhkan satu rejimen atau pasukan pertahanan awam di 222 Parlimen seluruh negara sebagai persediaan menghadapi bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan itu juga perlu terdiri daripada petugas yang terlatih dalam menghadapi sebarang bencana terutama banjir.

"Saya sudah meminta Ketua Pesuruhjaya APM untuk mewujudkan pasukan pertahanan awam dengan jumlah satu rejimen atau pasukan bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

"Anggota ini perlu diberikan latihan, pakaian seragam dan lakukan latihan setempat jika berlaku bencana banjir atau kebakaran, kemalangan, supaya bantuan awal dan segera dapat disalurkan.

"Inisiatif ini dikoordinasikan untuk seluruh 222 kawasam Parlimen di seluruh negara dan akan dilakukan tahun ini juga.

"Diharap dengan adanya kerja terkoordinasi ini kita ada langkah dan persediaan terkehadapan bagi menghadapi bencana pada bila-bila masa," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat banjir dan meninjau PPS Sri Medan, PPS Seri Sejati dan PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

DR Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama kanak-kanak ketika melawat mangsa banjir di PPS di Dewan Orang Ramai Sri medan, Batu Pahat, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DR Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama kanak-kanak ketika melawat mangsa banjir di PPS di Dewan Orang Ramai Sri medan, Batu Pahat, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata kerajaan akan membina dewan PPS kekal di sekolah-sekolah membabitkan kawasan sering dilanda bencana banjir.

"PPS kebanyakannya menggunakan sekolah yang berada agak tinggi daripada kawasan banjir.

"Jadi mana-mana sekolah yang dijadikan PPS, maka 'smart partnership' antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sekolah akan dilakukan. Ia dimulakan di lapan sekolah di Johor membabitkan kawasan Mersing dan Batu Pahat, sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

"Untuk itu kerajaan akan membina dewan kekal di sekolah-sekolah lokasi banjir untuk dijadikan PPS tetap di sekolah itu manakala di luar musim banjir ia akan digunakan oleh sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 6:29 PM