Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Puteh: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mewartakan serta merta mana-mana tempat dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), yang sebelum ini belum diwartakan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan itu bagi membolehkan bantuan disalurkan segera oleh pelbagai agensi.

"Di sini saya mengarahkan Nadma untuk mewartakan mana-mana tempat secara automatik yang digunakan sebagai PPS oleh mangsa banjir yang sebelum ini belum digazetkan lagi.

"Selepas diwartakan, semua bantuan mesti disalurkan ke PPS berkenaan bagi mengelak birokrasi kerana sebelum ini bantuan hanya disalurkan kepada PPS yang diwartakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, sebagai contoh SK Jelor sebelum ini belum diwartakan sebagai PPS namun ramai yang berlindung susulan kebanyakan kediaman penduduk dilanda banjir.

"Selepas saya mendapat maklumat PPS ini menjadi tempat perlindungan ratusan penduduk kampung, saya mengarahkan Nadma supaya serta merta mewartakan supaya bantuan segera disalurkan, katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memutuskan supaya penyelarasan dilakukan membabitkan badan sukarelawan supaya tidak berlaku pertindihan bantuan.

Katanya, semua bantuan perlu diselaras di peringkat pusat, negeri dan daerah.

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat kanak-kanak bermain karom selepas hadir melawat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat kanak-kanak bermain karom selepas hadir melawat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 6:29 PM