ANWAR (dua kiri) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SMK Agama Lati di Pasir Mas, Kelantan hari ini. FOTO Bernama
ANWAR (dua kiri) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SMK Agama Lati di Pasir Mas, Kelantan hari ini. FOTO Bernama
Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Kerajaan Persekutuan akan terus memantau situasi banjir di Kelantan dengan rapi dan memastikan mangsa banjir mendapat tempat berteduh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihaknya juga akan berusaha mengatasi kesan buruk musibah banjir.

"Usai tiba di Kota Bharu, Kelantan, saya langsung diberi taklimat ringkas berkaitan perkembangan terkini situasi banjir dan pengoperasian pasukan keselamatan kita.

"Sambil diapit Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus, taklimat itu juga memperincikan masalah yang dihadapi, cabaran operasi, status mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) selain pemberian bantuan kepada yang terkesan dengan bencana banjir.

"Agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedang bekerjasama rapat bagi memastikan urusan kebajikan mangsa banjir yang diberi keutamaan pada setiap masa," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Katanya, beliau turut melawat Jambatan Lubok Jong, di sini, bagi melihat sendiri kesan banjir dan langkah untuk mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

"Dalam lawatan ini juga saya singgah PPS di SMKA, Kampung Banggol Manok untuk mendengar sendiri masalah dihadapi mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 5:54 PM