Gambar hiasan
Gambar hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Terpedaya dengan tawaran lumayan bagi menjual barang dalam talian, seorang kontraktor kerugian RM99,855 apabila menjadi mangsa penipuan tawaran kerja dalam talian.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 21 tahun dari Bahau pada mulanya melayari Facebook sebuah syarikat dan melihat nombor telefon sebelum menghubungi seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, mangsa kemudian ditawarkan menyertai pekerjaan dan memberitahu akan mendapat pendapatan lumayan.

"Mangsa diberi satu pautan laman web dan diminta memuatnaik aplikasi Amazon Go.

"Mangsa mendaftar akaun di aplikasi berkenaan dan selepas itu memulakan kerja seperti ditawarkan.

"Kerja mangsa adalah membeli barang diiklankan di dalam aplikasi berkenaan dan membuat bayaran kepada ejen perkhidmatan pelanggan melalui WhatsApp," katanya hari ini.

Hoo berkata, mangsa akan menerima mata ganjaran setiap kali membuat pembayaran dan mata ganjaran boleh dilihat di dalam aplikasi dimuat naik mangsa.

Beliau berkata, mangsa membuat 60 kali pembelian dan dimaklumkan akan menerima RM147,433 dengan wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun bank mangsa.

"Mangsa membuat 24 transaksi pembelian dari 6 November hingga 8 November lalu melalui tiga akaun bank berbeza.

"Mangsa menyedari menjadi mangsa penipuan selepas diminta membuat pembayaran RM20,000 bagi proses mendapatkan jumlah wang bakal diterimanya," katanya.

Beliau berkata, mangsa turut meminjam RM25,000 daripada kakaknya bagi membuat pembelian barang, namun tidak menerima apa-apa pulangan daripada pembelian barang dilakukannya.

Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bahau, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, semakan polis mendapati akaun digunakan suspek sudah mempunyai rekod penipuan tawaran kerja dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 10:02 AM