GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Mahu pinjam RM5,000 tapi hampir RM10,000 lesap. Itu nasib malang Pegawai Khas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang kerugian RM9,345 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pada 15 Februari lalu, mangsa yang berusia 50-an mendapat maklumat mengenai pinjaman wang di Instagram.

Katanya, mangsa berhasrat membuat pinjaman berikutan mengalami masalah kewangan.

"Mangsa kemudian berurusan menerusi WhatsApp dengan dua individu yang mendakwa ejen menguruskan pinjaman berkenaan.

"Percaya dengan urusan dijalankan, mangsa diminta membuat sejumlah pembayaran selepas penilaian kewangan mendapati mangsa tidak layak membuat pinjaman," katanya.

Hoo berkata, mangsa diminta membuat pembayaran ke tiga akaun bank berbeza sebelum dia melakukan enam kali transaksi berjumlah RM9,345.92.

Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan untuk meluluskan pinjaman yang dimohon.

Dalam kes berasingan, Hoo berkata, seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun kerugian RM1,950 selepas menjadi mangsa pembelian dalam talian.

Katanya, mangsa melayari Instagram dan melihat iklan jual beli komputer riba berharga RM1,950 sebelum berurusan dengan seorang lelaki.

"Percaya dengan urusan itu, mangsa membuat dua kali pembayaran secara dalam talian iaitu pada 3 Februari sebanyak RM1,400 dan pada 9 Februari sebanyak RM550.

"Bagaimanapun mangsa tidak menerima barang yang dipesan dan lelaki berkenaan juga gagal dihubungi," katanya.

Hoo berkata, kedua-dua mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 11:19 AM