Gambar hiasan
Gambar hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Keghairahan wanita yang mahu mendapat mendapat keuntungan segera dalam 'pertandingan teka bola' sepak membawa padah apabila ditipu sehingga kerugian RM132,000.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 53 tahun yang bekerja sebagai kerani itu pada awalnya diperkenalkan oleh seorang rakannya mengenai pertandingan berkenaan ketika berada di rumahnya, pada 13 Januari lalu.

Katanya, mangsa dijanjikan keuntungan dua peratus mengikut modal yang dikeluarkan bagi setiap kali meneka perlawanan kemudian menyertai pertandingan itu melalui satu aplikasi.

"Disebabkan mahu mendapat keuntungan yang banyak, mangsa membuka lima akaun berasingan di aplikasi berkenaan sebelum wang berjumlah RM132,000 digunakan sebagai modal pertandingan.

"Mangsa melakukan enam kali transaksi secara dalam talian ke sebuah akaun bank sebaik selesai melakukan pendaftaran," katanya.

Hoo berkata, bagaimanapun semalam, mangsa mengalami kesukaran untuk mengeluarkan keuntungan diterima melalui aplikasi berkenaan.

Katanya, akaun mangsa tidak dapat berfungsi dan kemudian melihat modal yang dilaburkan dalam akaun sudah hilang.

"Berikutan itu pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Bahau selepas mengesyaki ditipu dan polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 8:33 AM