Gambar hiasan
Gambar hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Peneroka mengalami kerugian kira-kira RM39,000 selepas ditipu 'scammer' selepas didakwa dikehendaki polis kerana menjadi pengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 72 tahun itu terima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dari Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN ) pada 7 Mei lalu.

Menurutnya, panggilan itu kemudiannya dikatakan disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sebelum mangsa bercakap dengan seorang lelaki lain.

"Mangsa dimaklumkan terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah sebelum diberitahu 'polis' akan menahannya.

"Disebabkan panik apabila diberitahu akan ditangkap, lelaki itu kemudiannya meminta mangsa mengeluarkan duit simpanan sebagai bayaran bagi mengelakkan daripada ditahan," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya membuat pengeluaran wang tunai selepas itu dan pada 8.36 malam hari yang sama, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM4,500 menggunakan mesin deposit.

Katanya, mangsa sekali lagi membuat bayaran sebanyak RM4,500 melalui mesin deposit pada 9 Mei dan membuat pindahan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM) berjumlah RM30,000 ke akaun pihak ketiga.

"Mangsa kemudiannya diarah membuang kesemua resit bayaran," katanya.

Dalam satu kejadian berasingan, seorang suri rumah kerugian RM1,500 apabila menjadi mangsa penipuan Love Scam.

Hoo berkata, mangsa berusia 25 tahun sebelum itu berkenalan dengan seorang lelaki di Instagram sebelum diberitahu mahu memberi mangsa hadiah.

Katanya, mangsa mendakwa menerima pesanan dari syarikat penghantar melalui aplikasi Whatsapp pada 23 Mei lalu yang memaklumkan terdapat barang dipos dari United Kingdom (UK) atas nama mangsa.

"Mangsa kemudiannya diminta membayar RM2,000 bagi proses pengeluaran barang sebelum wanita itu memasukkan RM1,500 dengan baki dibayar sebaik barang diterima.

"Mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran sebanyak RM5,000 dan jika gagal membuat pembayaran mangsa boleh didakwa di mahkamah kerana terbabit dalam rompakan emas dan pengubahan wang haram," katanya.

Menurut Hoo, kedua mangsa penipuan itu kemudiannya membuat laporan polis pada semalam di Balai Polis Bandar Seri Jempol dan Bahau.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 3:15 PM