Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kurang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan tidak melaporkan ujian kendiri dikesan antara punca kes Covid-19 di Kelantan masih tinggi berbanding negeri lain.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kadar positif yang bergejala di negeri berkenaan juga dikesan agak tinggi iaitu 40 peratus.

Pada masa sama katanya, Kelantan mencatatkan jumlah kompaun paling tinggi setakat ini, selain penularan tinggi dikesan dalam komuniti, kontak rapat dan sporadik.

"Dalam lawatan sehari di Kelantan, saya dapati agak longgar pematuhan (SOP) rakyat di Kelantan. Kompaun juga paling tinggi di negeri ini, mungkin disebabkan pihak penguat kuasa aktif atau kurang pematuhan.

"Justeru, kita akan menekankan tiga aspek iaitu aspek pematuhan SOP, meningkatkan suntikan vaksin selain saringan di kalangan kontak rapat juga ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

KHAIRY Jamaluddin berucap ketika lawatan kerja ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). FOTO Nik Abdullah NIK Omar
KHAIRY Jamaluddin berucap ketika lawatan kerja ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). FOTO Nik Abdullah NIK Omar

Khairy turut meminta Jabatan Kesihatan Negeri mengesan dan memujuk penduduk yang belum mendapatkan vaksin terutama golongan yang berisiko tinggi supaya membuat suntikan segera.

"Mungkin kita boleh mengambil peluang mereka yang belum divaksin datang ke hospital mahu berjumpa doktor, kita vaksin mereka," katanya yang sehingga kini lebih 90 peratus penduduk dewasa sudah divaksin.

Katanya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan farmasi swasta supaya menasihatkan mereka yang membuat ujian kendiri untuk melaporkan dalam aplikasi MySejahtera.

"Ramai (rakyat) di Kelantan yang membuat ujian kendiri, namun hanya melaporkan sekiranya positif. Justeru, kita menasihatkan mereka yang membuat ujian kendiri supaya melapor bagi membolehkan Kelantan memasuki fasa empat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 5:43 PM