Nor Fazlina Abdul Rahim


"SAYA merayu kepada suami sejak beberapa hari lalu supaya tidak ke laut kerana bimbang keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Namun, suami tetap mahu pergi sambil memujuk saya dan berjanji akan pulang ke rumah tengah hari ini."

Demikian luahan Rosmaliza Mohd Rosdin, 42, iaitu isteri kepada Mohd Syafizam Daud, 43 yang maut selepas bot yang dinaikinya terbalik dalam kejadian di perairan Bachok, jam 8.30 malam tadi.

Rosmaliza berkata, kali terakhir dia berjumpa suaminya pada 1.10 tengah hari semalam sebelum suaminya berangkat ke laut.

Katanya, sebelum itu, dia begitu berat untuk melepaskan suaminya kerana sudah beberapa hari rasa berdebar-debar.

"Kira-kira 4 pagi tadi, anak saya mengejutkan saya memaklumkan keadaan suami sebelum saya menghubungi anak saudara suami bagi mendapatkan pengesahan.

"Allahuakbar.... sehingga kini saya seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku terhadap suami. Saya hilang kekuatan kerana selama ini sejak berkahwin, suami akan menghantar ke tempat kerja setiap hari," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Beliau berkata, suaminya yang bekerja sebagai kakitangan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) memang minat ke laut, namun sudah lama tidak keluar memancing.

"Suami begitu teruja untuk keluar mencandat sotong. Malah ketika tiba di Jeti Kuala Besar, suami sempat membuat panggilan video dan memaklumkan akan bertolak tidak lama lagi.

"Malah, saya sempat bergurau sekiranya karam di laut macam mana? Suami menjawab insya-Allah dia akan selamat dan akan sampai ke rumah tengahari ini.

"Saya tidak sangka akan kehilangan suami sekelip mata. Suami seorang yang sangat baik dan kami sempat bermaafan sebelum suami bertolak," katanya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Pasir Mas.

Dalam kejadian 8.30 malam, sebuah bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong terbalik dibadai ribut akibat ombak besar di kawasan perairan Kuala Kemasin, Bachok.

Kejadian itu meragut empat nyawa, empat lagi masih hilang, manakala 12 lagi selamat.

ROSMALIZA menunjukkan gambar suaminya  Mohd Syafizam Daud, 43 yang maut selepas bot yang dinaikinya terbalik dalam kejadian di perairan Bachok ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ROSMALIZA menunjukkan gambar suaminya Mohd Syafizam Daud, 43 yang maut selepas bot yang dinaikinya terbalik dalam kejadian di perairan Bachok ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Berita berkaitan:

  • Empat pemancing maut, empat hilang
  • Operasi SAR kesan 4 pemancing diteruskan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 9:40 AM