KHAIRY Jamaluddin (tengah) hadir pada Majlis Penyerahan Projek Mencegah Banjir di Kawasan Utama HRPZ II, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KHAIRY Jamaluddin (tengah) hadir pada Majlis Penyerahan Projek Mencegah Banjir di Kawasan Utama HRPZ II, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Projek tebatan banjir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dapat meningkatkan taraf kemudahan hospital terutama persediaan menghadapi bencana banjir.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, projek bernilai RM8 juta itu dalam usaha memastikan perkhidmatan kesihatan lebih efektif serta berkesan ketika musim banjir.

Katanya, projek itu merangkumi beberapa skop utama iaitu pembinaan pagar konkrit, saliran air, serta lain-lain kerja mekanikal dan elektrikal seperti sistem penghadang banjir dan sistem pam air.

"Projek tebatan ini mengambil masa 30 bulan dan siap pada Ogos lalu. Sejumlah 14 sistem penghadang banjir dibina bertujuan menghalang kemasukan air ke dalam kawasan hospital.

"Sebagaimana kita semua sedia maklum, dalam tempoh Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh kebiasaannya di penghujung tahun, rakyat di Kelantan sentiasa berada dalam keadaan berwaspada ekoran cuaca hujan lebat yang berterusan yang mengakibatkan banjir.

"Selain kepayahan, kehilangan harta benda yang perlu dihadapi, banjir juga menyebabkan berlakunya masalah kesihatan awam akibat penyakit bawaan air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Mencegah Banjir di Kawasan Utama HRPZ II, di sini, hari ini.

Khairy berkata, pada 2014, banjir besar melanda Kelantan dan keseluruhan kawasan hospital itu ditenggelami air yang melumpuhkan operasi ketika itu.

"Wad-wad dan lain-lain fasiliti hospital yang terjejas terpaksa ditutup dan pesakit terpaksa dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

"Keadaan ini disebabkan oleh sistem saliran di kawasan HRPZ II tidak dapat menampung kadar dan amaun aliran air yang tinggi sehingga menyebabkan berlakunya banjir dalam kawasan hospital.

"Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan meluluskan Projek Tebatan Banjir HRPZ II di bawah Rancangan Malaysia Ke-sebelas (RMKe-11) Rolling Plan Pertama (RP 1). Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), projek ini adalah yang pertama dilaksanakan di fasiliti kerajaan sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 12:22 PM