Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengenal pasti beberapa lokasi untuk dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), jika kes di negeri itu terus meningkat.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, setakat ini terdapat 15 PKRC di Kelantan membabitkan lebih 1,800 pesakit.

Beliau berkata, PKRC di negeri itu akan ditambah sekiranya kes harian terus meningkat lebih 600 kes setiap hari.

"Setakat ini dengan trend kes harian menunjukkan penurunan, PKRC sedia ada sudah mampu menampung pesakit Covid-19.

"Namun sebagai persediaan, kita sudah mengenalpasti beberapa lokasi lain termasuk Institut Belia Negara di Bachok yang boleh memuatkan sehingga 400 pesakit.

"Namun, kita berharap kes Covid-19 di Kelantan terus mencatatkan penurunan dan kerjasama semua pihak sangat penting bagi memutuskan rangkaian Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PKRC Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan (JKKN) di Tanjung Chat, di sini, yang mula beroperasi hari ini.

Hadir sama, Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir dan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

DR Zaini Hussin (tengah) diiringi Dr Selasawati (dua dari kanan) dan Dr Mohd Zurairie (kiri) memeriksa peralatan di PKRC di Dewan JKKN, Tanjong Chat, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
DR Zaini Hussin (tengah) diiringi Dr Selasawati (dua dari kanan) dan Dr Mohd Zurairie (kiri) memeriksa peralatan di PKRC di Dewan JKKN, Tanjong Chat, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

PKRC JKKN itu mampu memuatkan 200 pesakit selain dijadikan pusat pemindahan dari HRPZ II.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, setakat ini pihaknya tidak merancang untuk memberi suntikan vaksin secara pandu lalu.

Katanya, ia berikutan tiada garis panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung sistem berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 5:21 PM