Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan anak bongsu Khairy Jamaluddin menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), kelmarin.

Timbalan Menteri Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, dakwaan pihak tertentu mengatakan cecair vaksin berkenaan dibuang terlebih dahulu sebelum suntikan dilakukan juga adalah tidak benar.

Katanya, orang ramai sentiasa mencari salah walaupun pengambilan vaksin Covid-19 di bawah PICKids adalah salah satu usaha untuk melindungi kanak-kanak.

"Berdasarkan video yang ditunjukkan YB Menteri Kesihatan (Khairy) kepada saya, memang anaknya (Raif Averroes Jamaluddin) sudah disuntik.

"Kalau orang tidak percaya, boleh panggil kakitangan yang melakukan suntikan pada anak YB. Sebab itu saya kata orang akan sentiasa mencari kesalahan.

DATUK Dr Noor Azmi Ghazali, memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak ketika lawatan kerja sempena PICKids di HRPZ II. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
DATUK Dr Noor Azmi Ghazali, memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak ketika lawatan kerja sempena PICKids di HRPZ II. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim

"YB dan anaknya memang menerima vaksin. Mana boleh KKM mahu menipu perkara ini," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja sempena PICKids di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini.

Sebelum ini tular video berdurasi 17 saat yang memaparkan kakitangan KKM didakwa membuang cecair vaksin terlebih dahulu sebelum melakukan suntikan terhadap anak bongsu Menteri Kesihatan.

Media sebelum ini melaporkan, Khairy meluahkan rasa lega selepas anak bongsunya menerima suntikan vaksin menerusi PICKids.

Menerusi akaun Twitter rasminya, beliau memaklumkan anaknya, Raif selesai menerima suntikan vaksin dos pertama di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, pihaknya akan memperhalusi dan melakukan siasatan terhadap video yang tular itu.

"Esok saya akan merujuk Menteri Kesihatan berhubung perkara ini. Jika video berkenaan disunting, kita akan ambil tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 12:46 PM