Laluan FT 003 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota tinggi ditutup kepada kenderaan ringan. Foto Ihsan FB JKR Kota Tinggi
Laluan FT 003 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota tinggi ditutup kepada kenderaan ringan. Foto Ihsan FB JKR Kota Tinggi
Omar Ahmad

Kota Tinggi: Hujan lebat melanda menyebabkan kejadian banjir kilat sehingga laluan FT 003 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, ditenggelami dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja.

Menurut laman sosial Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi, kejadian berlaku bermula 5 petang hari ini.

"Jalan yang berhampiran Bukit Samsu-LGM itu ditutup sementara kepada kenderaan ringan sepanjang dua kilometer kerana dinaiki air setinggi 0.35 meter.

"Jalan Alternatif yang boleh dilalui FT092 (Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit) dan FT099 (Jalan Sungai Mas/Lok Heng/Mawai)

"Limpahan air longkang serta anak sungai menyebabkan kawasan jalan dinaiki air di kedua-dua arah," katanya.

Selain laluan terbabit, beberapa jalan turut dinaiki air, namun boleh dilalui kenderaan ringan.

Antaranya, J179 Jalan Perani berdekatan ladang sawit Prima membabitkan laluan sepanjang 200 meter dengan ketinggian air 0.25 meter.

"Keadaan jalan boleh dilalui oleh semua kenderaan berikutan air tidak deras dan sudah beransur surut.

"Turut dinaiki air Jalan FT 091, Kota Tinggi-Kluang berdekatan Kampung Jawa membabitkan jalan sepanjang 50 meter dan ketinggian air 150 milimeter, laluan masih dibuka kepada semua kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 9:02 PM