PPS di Jerantut. FOTO ihsan Kerajaan Negeri Pahang
PPS di Jerantut. FOTO ihsan Kerajaan Negeri Pahang
Roselan Ab Malek

Jerantut: Seramai 128 penduduk daripada 22 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini, selain beberapa laluan utama mula ditenggelami air, hari ini.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jerantut dalam hantaran di Facebook memaklumkan, tiga pusat PPS yang menempatkan mangsa banjir itu ialah Dewan Semai Bakti Felda Kota Gelanggi Satu (103 penduduk daripada 18 keluarga), Sekolah Kebangsaan (SK) Teh (11 penduduk daripada 2 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Damak (14 penduduk daripada 2 keluarga).

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Jerantut menerusi hantarannya di Facebook berkata, empat jalan menghubungi beberapa kampung di daerah ini di tutup kepada semua kenderaan apabila jalan itu dinaiki air melebihi 0.80 meter.

"Jalan yang ditutup ialah jalan Ulu Retang ke Merting di jambatan Sg Puai dinaiki air sepanjang 100 meter dengan kedalaman 0.80 meter. Manakala jalan Sungai Lekok ke Jeransong berdekatan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Jeransong dinaiki air sepanjang 100 meter dengan kedalaman 0.80 meter.

"Jalan Bukit Puas ke Gintong turut ditutupi untuk semua kenderaan apabila di naiki air 0.8 meter berhampiran dengan Balai Raya Gintong sedalam 0.8 meter manakala jalan Pulau Tawar ke Durian Hijau dinaiki air sedalam 0.40 meter sejauh 200 meter di kawasan Sekolah Menengah Pulau Tawar," katanya menerusi hantaran itu.

Dalam pada itu, penduduk, Muhammad Faqihin Shaharuddin, 27, berdepan detik apabila van dipandunya terkandas di jambatan Sungai Kerak yang ditenggelami air, awal pagi ini.

"Ketika saya memandu kenderaan dan tiba di atas jambatan itu, van saya terkandas kerana air naik dengan cepat.

"Ketika itu, hujan lebat mengakibatkan saya tidak sedar air mula melimpah di atas jambatan ini, mujur ada pemandu lori yang kebetulan berada di situ membantu saya keluar dari van ke tempat selamat," katanya.

Katanya, dia sempat melihat paras air pada ketika itu sedalam 0.6 meter dan dimaklumkan anggota bomba yang memantau laluan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 3:46 PM