LALUAN Tenggaroh Timur-Tanjung Leman, Mersing ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan berikutan berarus deras serta merbahaya kepada dilalui pengguna. FOTO Ihsan JKR Mersing.
LALUAN Tenggaroh Timur-Tanjung Leman, Mersing ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan berikutan berarus deras serta merbahaya kepada dilalui pengguna. FOTO Ihsan JKR Mersing.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Dua laluan utama di Mersing terputus hubungan sepenuhnya dan ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air sehingga 0.15 meter.

Dua laluan yang ditutup kerana berarus dan merbahaya itu ialah Jalan Kampung Orang Asli Peta dan Jalan Masuk Tenggaroh Timur-Tanjung Leman.

Sementara itu, hanya kenderaan berat dibenarkan melalui Jalan Tenglu Laut di Mersing berikutan ia dinaiki air sehingga 0.2 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang diletakkan di laluan berisiko.

"Tiga laluan di Kota Tinggi juga dinaiki air banjir antara 0.1 hingga 0.3 meter, namun masih boleh dilalui kenderaan.

"Ia membabitkan Jalan Kota Tinggi-Mersing FT003 yang dinaiki 0.1 air bah menjadikan laluan kiri terhalang namun boleh dilalui semua kenderaan dengan berwaspada.

"Jalan Seri Perani, Kota Tinggi pula dinaiki air bah sehingga 0.3 meter dengan laluan dibuka satu lorong.

"Bagaimanapun, Jalan Kimlong, Kota Tinggi yang dinaiki air bah sehingga 0.2 meter adalah berarus deras dengan hanya satu lorong dibuka, manakala motosikal tidak digalakkan melalui jalan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 9:05 PM