SEKUMPULAN kanak-kanak meredah banjir selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Gong Baru hari ini. FOTO BERNAMA
SEKUMPULAN kanak-kanak meredah banjir selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Gong Baru hari ini. FOTO BERNAMA
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berdekatan stesen minyak Kampung Paloh di sini, ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air setinggi 0.25 meter pagi ini.

Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif untuk ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu menggunakan laluan ke Manir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri memaklumkan, lapan lagi laluan terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan selepas dinaiki air antara 0.35 meter dan 0.5 meter.

Katanya, antaranya Jalan Bukit Payong-Pengadang Buloh-Chendering yang dinaiki air sedalam 0.4 meter sejauh 400 meter.

"Jalan Bukit Payong-Pengadang Buloh-Chendering di kawasan bulatan Puspakom di Kampung Kubang Ikan juga terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan selepas ditenggelami air sedalam 0.40 meter sejauh kira-kira 400 meter.

"Jalan Bukit Payong-Pengadang Buloh-Chendering di kawasan Masjid Kubang Ikan turut ditutup kepada kenderaan ringan selepas dinaiki air sedalam 0.35 meter sejauh 300 meter," katanya.

Turut ditutup kepada semua kenderaan ringan adalah laluan penghubung Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Bukit Payong selepas ditenggelami air sedalam 0.35 meter sejauh 50 meter.

Jalan Padang Lengkuas-Anak Musang di Kampung Padang Lengkuas, Jalan Seberang Jertih di Kampung Gong Kedak, Jalan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kemunting dan Jalan Batu Enam ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, berhampiran lampu Isyarat Sekolah Sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 2:50 PM