Penduduk mengharungi banjir berikutan hujan lebat sejak malam tadi di Taman Sri Intan 2, Jalan Sultan Omar. - Foto MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Penduduk mengharungi banjir berikutan hujan lebat sejak malam tadi di Taman Sri Intan 2, Jalan Sultan Omar. - Foto MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Keadaan Jalan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, yang dilimpahi air. - Foto MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Keadaan Jalan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, yang dilimpahi air. - Foto MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
BERNAMA

Kuala Terengganu: Polis Terengganu bertindak pantas menutup sementara beberapa laluan di sekitar bandar raya ini yang dilimpahi air berikutan hujan lebat yang tidak berhenti sejak 4 pagi tadi.

Tinjauan di Jalan Sultan Omar berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK), Jalan Kamaruddin dan Jalan Batu Buruk mendapati air bertakung dan melimpahi di atas jalan raya sedalam kira-kira 0.3 meter.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman ketika dihubungi berkata, inisiatif itu bagi memastikan aliran lalu lintas berjalan lancar berikutan jalan yang mula naiki air sejak 9 pagi tadi.

"Jalan Serating ke Merchang (Marang) turut ditutup sementara kepada kenderaan ringan di kedua-dua arah setelah dinaiki air sedalam 0.6 meter sejauh 100 meter.

“Limpahan air itu hanya sementara namun sehingga kini hanya laluan Serating ke Merchang (Marang) ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan," katanya.

Bagi laluan ke Pusat Bandar Kuala Terengganu, Jalan Batu Buruk dan sebagainya sudah beransur pulih dan semua kenderaan boleh melaluinya

Menurutnya kira-kira 20 anggota trafik melakukan kawalan di jalan yang dinaiki air dan polis turut melakukan pemantauan serta rondaan di kawasan berisiko banjir.

Beliau mengingatkan orang agar tidak cemas dan panik dengan situasi ini sebaliknya mendengar nasihat pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 5:40 PM