Mohamed Farid Noh


Segamat: Dua laluan Kampung Bukit Tempurong dan Kampung Simpang Loy di sini, ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan dinaiki air banjir sehingga 0.6 meter, sejak pagi tadi.

JKR Johor dalam kenyataan medianya hari ini memaklumkan dua laluan itu membabitkan Jalan Jabi di Kampung Bukit Tempurong dan Jalan Bangas di Kampung Simpang Loy.

"Jalan Jabi di Kampung Bukit Tempurong dinaiki air banjir sedalam 0.5 meter manakala Jalan Bangas di Kampung Simpang Loy pula dinaiki air bah hingga 0.6 meter.

"Kedua-dua laluan berkenaan ditutup kepada semua jenis kenderaan. Pengguna yang mahu melalui Jalan Bangas, boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Kuala Paya Balai Badang manakala tiada laluan alternatif untuk Jalan Jabi," kata kenyataan berkenaan.

PENGGUNA dinasihatkan peka terhadap papan tanda amaran laluan ditutup akibat bah di Segamat bagi memastikan keselamatan mereka terjamin. FOTO ihsan JKR JOHOR
PENGGUNA dinasihatkan peka terhadap papan tanda amaran laluan ditutup akibat bah di Segamat bagi memastikan keselamatan mereka terjamin. FOTO ihsan JKR JOHOR

Menurut kenyataan itu lagi, pengguna dinasihatkan berhati-hati melalui Jalan Senai-Gemas di Pekan Gemas, di sini, kerana laluan berkenaan turut dinaiki air bah.

Bagaimanapun, laluan di Pekan Gemas masih dibuka dan boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Pengguna diharap sentiasa berwaspada dan peka dengan papan tanda amaran banjir serta tanda amaran jalan ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 4:06 PM