Jalan Felda Mengkawang di Kampung Lubuk Periuk tutup kepada semua kenderaan. FOTO Nazdy Harun
Jalan Felda Mengkawang di Kampung Lubuk Periuk tutup kepada semua kenderaan. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


TIGA laluan di sekitar Kuala Berang ditutup berikutan dinaiki air antara 0.6 meter hingga 1.6 meter selepas hujan sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, jalan utama ke Felda Mengkawang di Kampung Lubuk Periuk ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air sedalam 1.6 meter.

Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya dapat menggunakan jalan alternatif di Kampung Belukar Bukit berikutan laluan di Kampung Lubuk Periuk itu dinaiki air.

Selain itu, katanya, Jalan Menerong di Kampung Lubuk Periuk yang dinaiki air sedalam satu meter di kawasan sepanjang 500 meter turut ditutup kepada semua kenderaan dan pengguna jalan raya boleh melalui jalan alternatif melalui Jalan Felda Mengkawang- Belukar Bukit.

"Jalan Kampung Matang-Nibong di Kuala Telemung iaitu di Bukit Tadok pula ditutup kepada kenderaan ringan selepas kawasan sepanjang 200 meter dinaiki air sedalam 0.6 meter.

"Oleh itu, pengguna jalan raya dinasihatkan dapat melalui jalan alternatif di Jalan Tajin, Kuala Telemung," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Adli berkata, beberapa jalan lain turut terjejas sejak semalam iaitu laluan menghubungkan Jalan Kuala Pueh, Tapah, Payang Kayu, Baung dan Kuala Ping apabila dinaiki air sepanjang 150 meter dengan kedalaman 0.2 meter.

Bagaimanapun, laluan di kawasan berkenaan dibuka untuk semua kenderaan.

"Jalan Simpang Gaung-Simpang Sungai Tong iaitu di Kampung Kuala Ping yang dinaiki air sepanjang 200 meter dengan kedalaman satu meter juga sudah dibuka kepada semua kenderaan pada petang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 6:38 PM