Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman berhubung penyelewengan peruntukan geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

SPRM membentuk kerjasama dengan kementerian itu bagi membuat semakan terhadap kira-kira 310 syarikat yang dikatakan menerima peruntukan di bawah RM1 juta.

Menurut sumber, dua fasa siasatan akan dilaksanakan dalam siasatan berkenaan iaitu fasa pertama yang memberi tumpuan kepada 27 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

"Fasa kedua pula, SPRM akan bekerjasama dengan KPN untuk memberikan tumpuan ke atas 310 syarikat yang menerima peruntukan di bawah RM1 juta.

"Pasukan penyiasat sudah mengenal pasti 337 syarikat, persatuan dan NGO yang sudah diluluskan geran peruntukan Mitra sejak 2019 hingga tahun ini dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta," katanya.

Beliau berkata, pasukan siasatan kini sedang meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan Mitra sepanjang tempoh berkenaan.

"Peruntukan paling tinggi yang diluluskan oleh Mitra ialah pada 2019 iaitu melebihi RM90 juta.

"Ia diluluskan kepada kira-kira 205 syarikat, persatuan dan NGO. Daripada jumlah itu, terdapat syarikat memperolehi geran peruntukan lebih RM1 juta," katanya.

Katanya, pendekatan siasatan memberikan fokus kepada peruntukan melebihi RM1 juta berikutan kekangan bagi menyiasat kesemua 337 program yang disalurkan dalam peruntukan berkenaan.

Menurutnya, pasukan siasatan sudah mengenal pasti syarikat penerima geran peruntukan di bawah RM1 juta dan akan memanggil mereka untuk siasatan lanjut termasuk mengemukakan bukti bahawa semua geran diterima itu dibelanjakan.

"Setakat hari ini, seramai 18 pengarah syarikat sudah ditahan untuk membantu siasatan dalam kes berkenaan.

"Daripada 10 syarikat yang disiasat setakat ini, 80 peratus daripadanya menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata, siasatan akan diteruskan dengan maklumat baharu.

Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa lagi pihak akan dipanggil termasuk mereka yang terbabit secara langsung dalam pemberian dana Mitra.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 11:53 PM