Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Siasatan terhadap 10 syarikat yang menerima geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) hampir selesai dan dicadangkan pertuduhan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, hasil siasatan itu akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya manakala baki syarikat yang dikenal pasti masih dalam siasatan.

"SPRM bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan menubuhkan pasukan khas siasatan untuk melihat semua tuntutan yang dibuat (syarikat) berkenaan.

"Semua laporan yang dikemukakan syarikat-syarikat itu dari 2018 sehingga 2020 juga sudah dirampas," katanya pada sidang media , hari ini.

Terdahulu Azam melancarkan kempen kesedaran pencegahan rasuah pengangkutan awam di Stesen MRT Muzium Negara.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.

TAN Sri Azam Baki. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Azam Baki. FOTO arkib NSTP

Azam berkata, pihaknya juga akan melihat sistem dan prosedur diamalkan jabatan kerajaan dalam pemberian geran yang dilihat mempunyai kelompongan.

"Ini satu lagi fokus yang diambil SPRM, kita akan siasat dua perkara iaitu unsur jenayah dan penambahbaikan sistem serta prosedur supaya ia tidak berlaku pada masa akan datang.

"Proses itu masih berjalan dan kita akan berbincang dengan kementerian berkenaan," katanya.

Sebelum ini, SPRM membuka kertas siasatan berhubung isu dana Mitra.

SPRM dilaporkan berkata, kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima aduan berhubung dakwaan penyelewengan dana di bawah agensi Mitra.

Mitra distruktur semula pada 2018 ketika pentadbiran Kerajaan PH dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri tetapi pada April 2020 hingga kini, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 1:00 PM