ANTARA individu yang ditahan SPRM berkaitan penyelewengan dana Mitra. FOTO ihsan SPRM
ANTARA individu yang ditahan SPRM berkaitan penyelewengan dana Mitra. FOTO ihsan SPRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Seramai 22 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) Kementerian Perpaduan Negara bagi program pembangunan sosioekonomi masyarakat India B40.

Mereka yang ditahan itu membabitkan pengarah syarikat, presiden serta setiausaha persatuan dan pertubuhan.

Sumber berkata, enam daripada 22 individu yang ditahan direman antara empat hingga enam hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret di Selangor, Kedah dan Putrajaya manakala 16 individu lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Katanya, operasi dilaksanakan di tujuh negeri iaitu di Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka semalam.

Menurut sumber, sebelum ini hasil siasatan mengenalpasti sebanyak 337 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diluluskan geran peruntukan sejak 2019 hingga tahun lalu membabitkan nilai RM203 juta.

"Tumpuan siasatan SPRM membabitkan dua fasa di mana Fasa 1.0 memberi tumpuan kepada 27 syarikat, persatuan dan NGO yang menerima peruntukan antara RM1 juta hingga RM9 juta.

"Pada Oktober lalu, SPRM menahan 18 orang membabitkan 10 syarikat, pertubuhan dan NGO bagi membantu siasatan penyelewengan ini," katanya hari ini.

Katanya, operasi yang dinamakan Mitra 2.0 ini menumpukan kepada baki 17 syarikat, pertubuhan yang menerima dana berjumlah RM1 juta hingga RM9 juta.

Menurut sumber, SPRM juga bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dengan menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas 310 syarikat yang sudah menerima peruntukan di bawah RM 1 juta.

"Fokus siasatan dalaman ini akan meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan sudah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan Mitra dari tahun 2019 hingga 2021.

"Peruntukan paling tinggi yang diluluskan ialah pada 2019 iaitu melebihi RM90 juta.

"Ianya diluluskan kepada 205 syarikat, persatuan dan NGO dengan lapan syarikat dikenal pasti memperolehi geran peruntukan lebih RM1 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 8:12 PM