AZAM ketika sidang akhbar pada Kolokium Antirasuah di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
AZAM ketika sidang akhbar pada Kolokium Antirasuah di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
BERNAMA

Seremban: Sekurang-kurangnya sembilan individu dijangka didakwa di mahkamah berkaitan kes penyelewengan geran peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), awal tahun depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, individu terbabit adalah daripada 10 syarikat penerima geran berkenaan yang disiasat SPRM sebelum ini.

"Kita dah di peringkat akhir (siasatan) dan membuat perbincangan dengan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) beberapa kali," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kolokium Antirasuah 'Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintergriti' di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, 17 lagi syarikat masih sedang disiasat berhubung kes berkenaan dan akan diteruskan dengan syarikat lain secara berfasa selain ia memerlukan tempoh yang agak panjang berikutan penyiasatan membabitkan rasuah dan agak rumit.

Pada 22 November lalu, Azam berkata, kertas siasatan membabitkan 10 syarikat yang menerima geran peruntukan Mitra akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk proses perundangan selanjutnya.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang meneliti semua permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan dilaksanakan penerima geran peruntukan Mitra sejak 2019 hingga 2021 susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terbabit dengan penyelewengan geran itu.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti diluluskan geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Sementara itu, Azam berkata, pihaknya akan meneliti sama ada isu berhubung kewujudan kartel di pelbagai peringkat dalam kalangan pegawai imigresen berada di bawah bidang kuasa SPRM atau tidak selepas mendapat maklumat terperinci daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Kenyataan itu timbul mungkin daripada siasatan dalaman di JIM, sehingga kini saya masih belum ada maklumat sebenar sama ada berkaitan dengan broker atau rasuah dan menjangkau pegawai di JIM, jadi saya tidak boleh buat spekulasi," katanya.

Pada 1 Disember lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendedahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam JIM termasuk berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:45 PM