Antara individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana peruntukan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India B40 di bawah Kementerian Perpaduan Negara. FOTO Ihsan SPRM
Antara individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana peruntukan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India B40 di bawah Kementerian Perpaduan Negara. FOTO Ihsan SPRM
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana peruntukan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India B40 di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Individu terbabit adalah pengerusi dan setiausaha sebuah persatuan kebajikan yang disyaki mengemukakan Laporan Akhir Pelaksanaan Program Bantuan Kewangan Khas, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) mengandungi butiran matan palsu bernilai RM1 juta tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Sumber berkata, SPRM mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret Putrajaya untuk menahan reman kedua-dua individu berkenaan selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Jumlah ini menjadikan individu yang ditahan sehingga kini adalah seramai 26 orang dan mereka yang direman pula seramai lapan orang.

"Mereka yang ditahan ini hasil daripada dua fasa operasi dinamakan Mitra 1.0 dan Mitra 2.0 yang dijalankan di beberapa negeri seperti di Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka," katanya.

Menurutnya, Fasa 1.0 memberi tumpuan kepada 27 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima peruntukan antara RM1 juta hingga RM9 juta.

"Manakala Mitra 2.0 ini menumpukan kepada 17 syarikat dan pertubuhan yang tergolong dalam kumpulan yang telah menerima dana berjumlah RM1 juta hingga RM9 juta.

"SPRM bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dengan menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas 310 syarikat yang menerima peruntukan di bawah RM1 juta," katanya.

Menurutnya, fokus siasatan dalaman ini akan meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan Mitra dari tahun 2019 hingga 2021.

"Berdasarkan siasatan, peruntukan paling tinggi yang diluluskan ialah pada tahun 2019 iaitu melebihi RM90 juta.

"Ianya diluluskan kepada 205 syarikat, persatuan dan NGO. Daripada jumlah berkenaan, terdapat lapan syarikat dikenal pasti memperoleh geran peruntukan lebih RM1 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 4:04 PM