Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Enam individu lagi dijangka berdepan pertuduhan mahkamah berhubung penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam berkata, sejumlah 33 kertas siasatan sudah dibuka dengan lapan individu telah dituduh di mahkamah dan beliau menyifatkan kes itu telah selesai pada peringkat siasatan.

Menurutnya, mereka yang dituduh terdiri daripada pengarah syarikat, pengerusi pertubuhan, pegawai pentadbir syarikat dan setiausaha pertubuhan dengan jumlah yang terlibat dalam setiap program adalah antara RM900,000 hingga RM5 juta.

"Bagi yang belum dituduh kita jangka Jabatan peguam Negara akan bersetuju untuk tuduh seramai enam orang lagi," katanya kepada pemberita pada Program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Zon Utara di sini, hari ini.

Menurut Azam, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menyatakan persetujuan dengan cadangan SPRM berhubung tindakan penambahbaikan yang perlu dipatuhi mengikut peruntukan Seksyen 7 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

AZAM (dua dari kiri) berbual bersama media ketika hadir program 'Cakna Rasuah' SPRM bersama media zon utara. FOTO Mikail Ong.
AZAM (dua dari kiri) berbual bersama media ketika hadir program 'Cakna Rasuah' SPRM bersama media zon utara. FOTO Mikail Ong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 7:17 PM