PATI yang ditahan di perairan Tanjung Punggai, malam tadi. FOTO ihsan TLDM
PATI yang ditahan di perairan Tanjung Punggai, malam tadi. FOTO ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan sebuah bot bersama 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) dipercayai warga Indonesia di perairan Tanjung Punggai, Johor, malam tadi.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut berkata, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan kontak mencurigakan di sekitar perairan Tanjung Penyusop pada 10 malam.

Menurutnya, maklumat pengesanan itu disalurkan oleh Area Control Centre (ACC) Johor kepada Kapal Diraja (KD) Ganyang untuk tindakan lanjut.

"KD Ganyang kemudiannya mengkoordinasikan aset TLDM Fast Combat Boat (FCB) 1123 bersama aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Perkasa 30 bagi menyiasat kontak berkenaan.

"Dua puluh minit kemudian, FCB mengesan kontak. Sebaik dihampiri untuk disiasat, kontak yang dikenal pasti sebagai bot laju cuba melarikan diri.

"Namun, kecekapan serta keupayaan FCB 1123, bot berkenaan berjaya ditahan di perairan Tanjung Punggai. Dalam usaha melarikan diri, dua tekong bot terjun ke laut, manakala penumpang yang dipercayai Pati ditahan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Lumut, hari ini.

Katanya, Operasi Carilamat juga diaktifkan bagi mencari dua tekong berkenaan.

"Semua penumpang membabitkan tiga lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20-an hingga 40-an dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk ujian saringan Covid-19 dan juga siasatan lanjut," katanya.

Kenyataan itu berkata, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh semua agensi terbabit Op Benteng memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan.

Katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

"TLDM bersama agensi penguat kuasa maritim lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 10:19 AM