TLDM menahan 21 Pati di perairan Johor Selatan, kerana menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan. FOTO Ihsan TLDM
TLDM menahan 21 Pati di perairan Johor Selatan, kerana menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan. FOTO Ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Johor Selatan, selepas didapati menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan, awal pagi tadi.

Cubaan menyeludup PATI itu dipatahkan pihak berkuasa apabila Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan sebuah bot curiga berkelajuan tinggi bergerak di selatan perairan Tanjung Penyusop, Johor pada 2.51 pagi.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut berkata, penahanan membabitkan sembilan lelaki dan 12 wanita lingkungan 20-an hingga 40-an tahun dilakukan Fast Combat Boat (FCB) TLDM.

Menurutnya, susulan itu, maklumat pencerobohan kemudiannya disalurkan oleh Area Control Centre (ACC) Johor kepada Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti yang berada di lapangan untuk tindakan lanjut.

"KD Sri Indera Sakti mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 bagi melaksanakan penjejakan dan pemintasan ke atas kontak curiga berkenaan.

"Menyedari kehadiran bot FCB TLDM, bot curiga bertindak memecut laju dan berpatah balik untuk keluar dari perairan negara.

"Dalam kekalutan untuk melarikan diri, bot berkenaan bertindak agresif dan melanggar FCB 1123 yang mengakibatkan bot curiga terbalik di lokasi," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Lumut, semalam.

Menurut kenyataan itu, tindakan pantas krew FCB 1123 berjaya menyelamatkan 21 mangsa dipercayai PATI dengan dua darinya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Semua PATI yang diselamatkan dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Tim Op MERPATI 1 Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk ujian saringan Covid-19 dan siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut yang dilaksanakan ke atas mangsa yang diselamatkan mengesahkan bot berkenaan membawa 27 individu dipercayai PATI semasa kejadian," katanya.

Katanya, susulan itu, operasi Carilamat diaktifkan sejurus kejadian bagi mengesan enam Pati yang masih hilang.

"Usaha Carilamat dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM) dengan pembabitan aset TLDM iaitu FCB 1124, RHIB SANTI dan RHIB CERDIK di lokasi.

"Hasil pencarian sudah menemukan tiga mangsa wanita di lokasi berhampiran. Carilamat tiga lagi mangsa masih diteruskan," katanya.

Kenyataan itu, berkata, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh semua agensi terbabit memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan baik di laut mahupun di darat.

Katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

"TLDM bersama agensi penguat kuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada setiap masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 3:51 PM