Tiga lelaki warga Indonesia yang ditahan TLDM bersama rokok yang cuba diseludup di selatan perairan Tanjung Setapa dekat Johor, hari ini. Foto Ihsan TLDM
Tiga lelaki warga Indonesia yang ditahan TLDM bersama rokok yang cuba diseludup di selatan perairan Tanjung Setapa dekat Johor, hari ini. Foto Ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan tahan tiga lelaki warga Indonesia di selatan perairan Tanjung Setapa dekat Johor, hari ini.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut berkata, Fast Combat Boat (FCB) 1124 TLDM yang sedang melaksanakan rondaan mengesan sebuah bot mencurigakan di kawasan perairan berkenaan pada 1.05 pagi.

Menurutnya, maklumat pencerobohan seterusnya disalurkan kepada RHIB Cerdik dan RHIB Lepau di lapangan untuk bantuan lanjut dan pemintasan.

"Menyedari kehadiran bot FCB TLDM, bot itu memecut laju dan berpatah balik untuk keluar dari perairan negara.

"Ketika cuba melarikan diri, beberapa bungkusan tercampak ke laut dari bot berkenaan.

"RHIB Lepau menyita bungkusan berkenaan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut mengesahkan bungkusan itu mengandungi 2,190 kotak rokok dianggarkan bernilai RM15,330," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tiga lelaki dipercayai warga Indonesia berusia antara 20-an hingga 40-an ditahan atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

"Ketiga-tiga berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah bersama kesemua barangan yang diperiksa seterusnya diserahkan kepada Tim Op MERPATI dari Rejimen Ke-7 Artileri Diraja (RAD) untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut kenyataan itu, penyaluran maklumat dan koordinasi pantas oleh aset terbabit memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan baik di laut mahupun di darat.

Katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Menurutnya, TLDM sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara setiap masa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 7:41 PM