LELAKI terbabit. FOTO Ihsan TLDM
LELAKI terbabit. FOTO Ihsan TLDM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tindakan seorang tekong warga Indonesia mahu menyeludup minyak, ayam selasih dan burung merpati ke negara ini tidak berhasil apabila berjaya dikesan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melakukan Op Benteng Laut di perairan Johor.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Perak dalam kenyataan berkata, lelaki itu yang menaiki sebuah bot menuju ke arah Pulau Che Kamat dari perairan negara jiran itu, ditahan pada 3.15 pagi semalam.

"Tindakan pantas bot pemintas TLDM FCB 1326 dan RHIB Lepau berjaya memintas bot berkenaan berhampiran Pulau Che Kamat di perairan Teluk Ramunia.

"Hasil pemeriksaan mendapati tekong tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan membawa barang yang disyaki seludup. Kedua-dua bot TLDM kemudian mengiringi bot ditahan itu ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan mendapati barangan rampasan terdiri daripada 20 liter minyak, satu kotak berisi ayam selasih dan satu kotak berisi burung merpati dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM7,000.

Katanya, tekong dan barang rampasan diserahkan kepada Tim Op MERPATI 1 Tentera Darat Malaysia untuk dilaksanakan siasatan dan saringan Covid-19.

"ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.

"TLDM juga akan sentiasa memastikan perairan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dengan memperkasakan kesiagaan aset-aset Op Benteng Laut," katanya kerjasama bersepadu bersama agensi keselamatan lain akan dipertingkat dan diperkukuhkan dalam pelaksanaan Op Benteng.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 10:00 AM