BOT berkenaan cuba meloloskan diri namun tindak balas pantas kesemua aset terbabit berjaya menggagalkan cubaan itu. FOTO Ihsan TLDM
BOT berkenaan cuba meloloskan diri namun tindak balas pantas kesemua aset terbabit berjaya menggagalkan cubaan itu. FOTO Ihsan TLDM
BERNAMA

Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan sebuah bot bersama 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) dipercayai warga Indonesia kerana menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan di kira-kira 4 batu nautika selatan dari Teluk Ramunia, Johor, malam tadi.

Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan bot yang mencurigakan dalam keadaan berkelajuan tinggi dari Pulau Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia itu, kira-kira 9.30 malam.

"Susulan itu, Area Control Centre (ACC) Johor menyalurkan maklumat pencerobohan berkenaan kepada Kapal Diraja (KD) Ganyang yang berada di perairan berkenaan sebelum aset TLDM bot tempur laju (FCB 1123), bot pemintas Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Santi serta aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Perkasa 30 dihantar segera ke lokasi bagi memintas bot berkenaan.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot berkenaan cuba meloloskan diri namun tindak balas pantas kesemua aset terbabit berjaya menggagalkan cubaan itu," menurut kenyataan itu.

Kesemua Pati lelaki berumur 20 hingga 40- an itu dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang bagi ujian saringan Covid-19 dan siasatan lanjut.

"Kerjasama dan tindakan bersepadu dalam penyaluran maklumat oleh agensi terbabit dapat memastikan setiap cubaan pencerobohan berjaya digagalkan sama ada di laut dan darat.

"Angkatan Tentera Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman keselamatan dan kedaulatan negara malah TLDM bersama agensi penguat kuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara setiap masa," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 2:51 PM