Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membabitkan Johor secara langsung dalam jawatankuasa teknikal yang membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melakukan lawatan kerja sehari ke negeri ini.

"Perdana Menteri bersetuju supaya Johor dibabitkan secara langsung bukan hanya dalam isu pembukaan sempadan, tetapi juga prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan berhubung rentas sempadan.

"Antara isu memerlukan input kerajaan negeri termasuk mendapatkan senarai rakyat Malaysia bekerja di Singapura yang sudah divaksin di sana, tetapi maklumat itu belum dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera.

"Isu lain yang kerajaan Johor boleh bantu dari segi input serta penyaluran maklumat adalah pergerakan keluar masuk lori membawa bekalan ke Singapura membabitkan pemandu lori yang perlu menjalankan ujian pemeriksaan kit ujian pantas (RTK)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersama pemimpin Johor yang dipengerusikan Perdana Menteri di Hotel Thistle di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Seri Dr Adham Baba.

Pada 7 September lalu ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Hasni meminta supaya wakil kerajaan negeri dibabitkan dalam jawatankuasa khas perbincangan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.

Beliau dilaporkan berkata, hal itu penting berikutan pembukaan sempadan Johor-Singapura adalah antara elemen utama dalam usaha pemulihan ekonomi negeri.

Sementara itu, Hasni berkata, isu utama dalam pembukaan sempadan Malaysia-Singapura ketika ini adalah mendapatkan persetujuan republik itu.

Katanya, ia termasuk bagi membincangkan SOP yang akan dilaksanakan memandangkan republikitu sedang mengalami peningkatan kes baharu Covid-19 yang sedang melonjak.

"Antara perincian SOP yang dikemukakan Johor untuk penilaian termasuklah pengiktirafan sijil vaksin, bentuk saringan yang perlu dibuat dan tempoh laku ujian berkenaan selain sistem yang perlu dipersetujui kedua-dua negara.

"SOP ini sudah dibincangkan semasa mesyuarat tadi dan saya harap ia akan dapat dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 11:36 PM