DATUK Hasni Mohammad (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Johor Tourism Interchange (JTI) dan Virtual Majestic Johor Week di Menara JLand. FOTO Nurul Amanina Suhaini
DATUK Hasni Mohammad (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Johor Tourism Interchange (JTI) dan Virtual Majestic Johor Week di Menara JLand. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Peningkatan kes Covid-19 di Singapura tidak menjadi penghalang kepada perbincangan pembukaan semula sempadan antara kedua-dua negara.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, ketika negara berdepan dengan pandemik ini, pelbagai kaedah dilaksanakan bagi mempercepatkan kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak melihat peningkatan kes Covid-19 di negara jiran itu menjadi penghalang kepada usaha untuk berbincang berhubung pembukaan semula sempadan negara.

"(Sebagai contoh) kerana awal dahulu apabila Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) tangguh atau Peraturan Ulang Alik Berkala (PCL) tidak dilaksanakan (perbincangan tetap berjalan).

"Kerana waktu itu kita menunggu kaedah-kaedah bagi berdepan Covid-19 ini, tetapi kini adanya pelbagai vaksin.

"Saya difahamkan Singapura pun sudah memikirkan dos ketiga dan mula berkempen iaitu difahamkan adanya kit ujian asas, tambahan dengan adanya langkah-langkah awalan, kes meningkat atau menurun tidak menjadi penghalang kepada perbincangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Johor Tourism Interchange (JTI) dan Virtual Majestic Johor Week, di sini, hari ini.

Hasni berkata, di peringkat Jawatankuasa Teknikal sudah bersetuju dengan penelitian prosedur operasi standard (SOP) yang dihantar kerajaan negeri.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai sekretariat kepada barisan Menteri Kanan akan menetapkan tarikh untuk pembentangan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.

Terdahulu, Kerajaan Pusat dilaporkan bersetuju untuk membabitkan Johor secara langsung dalam jawatankuasa teknikal membincangkan pembukaan semula sempadan antara dua negara ini.

Hasni dilaporkan berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri ketika mengadakan lawatan kerja sehari ke negeri ini.

Pada 7 September lalu ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Hasni meminta wakil kerajaan negeri disenaraikan dalam jawatankuasa khas perbincangan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.

Semalam dilaporkan, jumlah kes Covid-19 di Singapura mungkin akan meningkat menjangkau 5,000 kes sehari menjelang minggu kedua bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 2:49 PM