TAMBAK Johor.
TAMBAK Johor.
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Johor bersedia menerima masuk 1,440 individu pada minggu pertama laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura yang berlangsung serentak dengan VTL udara, 29 November ini.

Menteri Besarnya Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri sudah menghantar prosedur operasi standard (SOP) khas kepada Persekutuan untuk membolehkan VTL darat itu berlangsung.

Katanya, turut dibangunkan sistem khas 'Johor Travel Save' bagi melicinkan pelaksanaan proses kemasukan pengembara.

"Johor sudah bersedia untuk membuka sempadan di Tambak Johor dan Link Kedua (Second Link) sekiranya kerajaan Persekutuan bersetuju dengan VTL darat Malaysia-Singapura, malah ujian rintis pada 22 November ini bagi memastikan persediaan rapi dibuat.

"Ia berikutan Johor mempunyai pengalaman membantu kerajaan Persekutuan untuk proses kemasukan menerusi skim Aturan Perjalanan Berkala (PCA) sebanyak 2,000 individu sehari dan Laluan Hijau Dua Hala (RGL) seramai 400 sehari di sempadan Malaysia-Singapura.

"Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan kelancaran VTL darat ini, apatah lagi bagi memastikan rakyat Malaysia yang lama terperangkap di Singapura dapat pulang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di sini, hari ini.

Cai Tung ingin tahu kuota yang ditetapkan untuk kemasukan VTL darat Malaysia-Singapura yang dilaporkan akan dilaksanakan pada 29 November ini.

Ahad lalu, Hasni dilaporkan mengumumkan VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

Hasni dilaporkan berkata, ia hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, Malaysia dan Singapura telah pun bersetuju bahawa pembukaan sempadan akan dilakukan secara beransur-ansur dan sistematik.

Katanya, ia bagi membolehkan aktiviti rentas sempadan dilaksanakan dalam keadaan paling selamat.

"Pendekatan yang bersesuaian adalah dengan menetapkan kuota harian bagi aktiviti rentas sempadan ini.

"Bagi memastikan pelaksanaan aktiviti ini tidak menjejaskan kepentingan kesihatan awam, ujian saringan Covid-19 yang boleh memberikan keputusan pada kadar segera serta tidak membebankan warga Malaysia akan dilaksanakan.

"Pada waktu ini, kerajaan Johor bersama KKM sedang menyediakan dan memperkukuh SOP berkenaan VTL - Land terutama sekali yang berkenaan prosedur operasi saringan kepada pengembara yang ingin

keluar dan masuk sempadan kedua-dua buah negara.

"Prosedur ini juga akan memastikan kapasiti saringan dapat menampung jumlah pengembara di bawah VTL-Land," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 10:58 AM