GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan negeri berharap pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura di sini, mendapat pertimbangan sewajarnya dan dipercepatkan terutama selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Sabtu lalu.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, dalam pertemuan itu yang turut disertai Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu, pihaknya turut membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan.

Sebelum itu katanya, Ismail Sabri mendengar taklimat pembangunan negeri dan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin masyarakat.

"Dalam taklimat itu, Perdana Menteri bersetuju supaya kerajaan Negeri Johor dibabitkan secara langsung bukan hanya mengenai pembukaan sempadan, malah dalam pelbagai isu yang membabitkan negara jiran, Singapura.

"Datuk Seri Hishammuddin juga akan bersama-sama sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal untuk meneliti SOP yang telah dihantar kerajaan negeri.

"Semoga dengan pertemuan ini, urusan pembukaan sempadan antara Johor dan Singapura dapat disegerakan," katanya dalam hantaran di akaun Twitter rasminya, semalam.

Sabtu lalu, Kerajaan Persekutuan dilaporkan bersetuju untuk membabitkan Johor secara langsung dalam jawatankuasa teknikal membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.

Pada 7 September lalu ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Hasni meminta supaya wakil kerajaan negeri disenaraikan dalam jawatankuasa khas perbincangan pembukaan sempadan itu, malah menjelaskan pembukaan sempadan elemen utama untuk memulihkan ekonomi negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 11:35 AM