Hasni Mohammad ketika  Program Bersama Komuniti Pesawah Padi Sungai Balang di Rumah Inap Desa D'Sawah Sungai Balang, Muar. Foto Essa Abu Yamin
Hasni Mohammad ketika Program Bersama Komuniti Pesawah Padi Sungai Balang di Rumah Inap Desa D'Sawah Sungai Balang, Muar. Foto Essa Abu Yamin
Oleh Essa Abu Yamin


Muar: Peningkatan kes baharu Covid-19 di Singapura diharap tidak menjadi halangan negara itu untuk membuka sempadan Singapura-Malaysia dengan segera.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, ini kerana Malaysia sudah mencapai 90 peratus kadar vaksinasi lengkap ketika ini.

"Saya berharap kerajaan Singapura akan terus mempertimbangkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah dipersetujui oleh kerajaan Malaysia.

"Soal meningkat atau pun tidak kes baharu Covid-19 di negara itu sepatutnya tidak menghalang Singapura untuk duduk berbincang dengan Johor dan Malaysia membuka sempadan seberapa segera yang boleh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Program Bersama Komuniti Pesawah Padi Sungai Balang di Rumah Inap Desa D'Sawah Sungai Balang, Muar dekat sini hari ini.

Menurut Hasni, apabila rentas negeri sudah dibolehkan rakyat Malaysia di Singapura cukup rasa terkesan mengapa mereka tidak boleh pulang dan merentas negeri dan negara.

"Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin ada memaklumkan bahawa pihaknya sudah berbincang dengan kerajaan Singapura baru-baru ini dan Singapura telah meminta supaya memberi masa untuk mereka mengurangkan kes positif Covid-19 di negara itu.

"Apa jua keadaannya di Singapura yang penting kita semua sudah melengkapkan vaksinasi dan yakin mereka dapat mengenalpasti dengan kadar vaksinasi lengkap boleh membantu usaha berkenaan.

"Saya berharap jika itu boleh diterima oleh pihak Singapura, maka perbincangan mengenai pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura boleh dilaksanakan dengan segera," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Johor merancang mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri Melaka bagi meningkatkan jumlah pelancong datang ke negeri ini, terutamanya daerah Muar yang mempunyai banyak nilai sejarah.

"Perkara itu sekali gus akan mampu meningkatkan nama daerah Muar daripada sudut pelancongan dan itu kerajaan negeri akan mula memberikan tumpuan.

"Kerajaan Johor akan melantik pakar-pakar dan membawa mereka untuk datang melakukan kajian mengenai sejarah Muar.

"Muar berjiran dengan Melaka dan kita ketahui yang negeri berkenaan sumber pendapatannya adalah pelancongan dan sepatutnya kita ada satu kolaborasi dan kerjasama yang baik supaya dapat dipertingkatkan sektor pelancongan ini," katanya ketika mengulas berkenaan Bajet Johor 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 7:15 PM