DR Shazwani terpilih sebagai pemenang 30 Hari 30 Frontliners di Kem Perdana Sungai Besi.
DR Shazwani terpilih sebagai pemenang 30 Hari 30 Frontliners di Kem Perdana Sungai Besi.

Kuala Lumpur: Pegawai Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pusat Perubatan Angkatan Tentera Kem Perdana Sungai Besi, Mejar Dr Shazwani Mohamad mengagumi semangat penerima vaksin yang berjaya melengkapi dua dos suntikan meskipun fobia dengan jarum suntikan.

Kata Dr Shazwani, satu pengorbanan besar bagi penerima vaksin apabila sanggup mengetepikan rasa fobia terhadap jarum demi memastikan keselamatan diri dan keluarga dari dijangkiti Covid-19.

"Pengalaman manis pada saya adalah kerenah mencuit hati penerima vaksin yang takut dengan jarum.

"Rasa takut mereka ini mungkin lucu kepada orang lain, tetapi lihat reaksi apabila berpaut pada apa sahaja benda yang ada dalam kereta menggambarkan ketakutan yang amat sangat.

"Saya kagum dan puji walaupun mereka ini sangat fobia, tetapi masih sanggup harungi proses melengkapkan dua dos suntikan vaksin demi diri dan keluarga," katanya.

Sebagai petugas dalam pemberian vaksin secara pandu lalu di pusat itu, dapat melihat sendiri perbezaan atau kesan Covid-19 antara yang menerima dan tidak divaksin.

"Sejak dua tahun menjadi petugas barisan hadapan, saya melihat sendiri kesan Covid-19 kepada pesakit.

"Mula gejala ringan tiba-tiba boleh jadi kritikal dalam tempoh singkat sehingga perlu bantuan resutasi.

"Tetapi, perubahan lebih baik dan peluang tampak cerah apabila rakyat Malaysia semakin menghampiri imuniti kelompok. Komplikasi seperti kehilangan nyawa dapat dikurangkan berlaku dalam masyarakat apabila mereka dilindungi vaksin," katanya.

Beliau yang juga pemenang Kempen 30 Hari 30 Frontliners berkata, rutin harian sebagai petugas barisan hadapan adalah misi sangat luar biasa baginya.

"Covid-19 ini 'medan perang' luar biasa buat saya anggota tentera dan pegawai perubatan kerana berdepan musuh yang tidak nampak.

"Belum lagi dengan kewujudan kelompok antivaksin dilihat antara rintangan perlu kami hadapi untuk terus melindungi rakyat Malaysia.

"Saya perlu terus berjuang bersama lebih 20 petugas perubatan di bawah pimpinan saya sebagai selaku Pegawai Pemerintah di Pusat Perubatan Kem ini untuk terus memerangi pandemik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 12:43 PM