DR Nurashikin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Nurashikin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Ahli keluarga atau mereka yang rapat dengan penerima vaksin berperanan menenangkan individu yang mempunyai fobia terhadap jarum suntikan (trypanophobia) selain meyakinkan mereka keperluan disuntik vaksin Covid-19 apabila tiba giliran mereka kelak.

Menyifatkan setiap individu mempunyai ketakutan atau fobia terhadap objek atau keadaan tertentu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kesihatan Mental, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Nurashikin Ibrahim, berkata, ketakutan dialami seseorang individu termasuk mereka yang mempunyai trypanophobia adalah ekstrim.

Beliau berkata, bagi menenangkan atau meredakan ketakutan dialami individu terbabit, adalah perlu untuk ahli keluarga meyakinkan mereka bahawa suntikan vaksin itu adalah antara langkah pencegahan dan membina satu perlindungan kelompok daripada wabak seperti Covid-19.

"Saya rasa peranan ahli keluarga yang tahu seseorang itu takut kepada jarum termasuk untuk bersama-sama hadir ketika penerima mendapatkan suntikan vaksin.

"Perkara pertama ialah seseorang itu perlu ada keyakinan (terhadap kepentingan melalui proses pengambilan vaksin).

"Mungkin semasa berdepan ketakutan jarum tu, saya tak boleh kata 'jangan takut'. Memang dia takut tapi ketakutan ni kalau kita boleh kita bantu dia, bawa dia, kita boleh pegang tangan dia semasa dia sedang disuntik. Kita boleh berikan keyakinan dan bantu memberi sokongan dengan tunjukkan benda baik sahaja," katanya tadi.

Dr Nurashikin berkata, sememangnya satu cabaran yang perlu diatasi untuk berdepan dan menenangkan mereka yang menghadapi ketakutan dengan jarum suntikan, namun antara cara yang boleh dilakukan termasuk dengan memimpin mereka seperti kanak-kanak dan meminta individu terbabit memejam mata serta berpaling ke arah lain supaya mereka tidak melihat jarum atau proses pelalian dilakukan.

Sementara itu, berbicara ketakutan orang awam yang dikongsikan dengan KKM, Dr Nurashikin berkata, pada permulaan wabak Covid-19 melanda negara, pihaknya menerima panggilan daripada individu yang mempunyai masalah komorbiditi yang bimbang akan terkesan atau dijangkiti Covid-19.

Katanya, ada yang takut untuk ke hospital atau fasiliti kesihatan kerana bimbang mereka mudah dijangkiti terutama apabila melihat ada kes kematian berkaitan Covid-19 membabitkan individu yang menghidap penyakit diabetes, hipertensi atau mereka yang mempunyai imuniti rendah.

"Pada ketika itu, mereka takut untuk ke hospital kerana takut dijangkiti. Kini panggilan yang diterima membabitkan kerisauan mereka yang mempunyai komorbiditi jika tidak boleh menerima vaksin Covid-19.

"Justeru, saya nyatakan di sini, kalau ada sesiapa yang masih belum memuat turun aplikasi MySejahtera untuk berbuat demikian dan mendaftar untuk menjadi penerima vaksin.

"Ada juga beberapa cara lain untuk mendapatkan maklumat terutama membabitkan warga emas termasuk dengan bertanya sendiri mengenainya di Klinik Kesihatan atau menghantar emel kepada KKM," katanya.

Apa yang penting, Dr Nurashikin berkata, setiap penduduk di negara ini perlu mendaftar terlebih dahulu bagi mendapat maklumat yang tepat dan sahih mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau berkata, selepas mendaftar untuk mendapatkan pelalian, mereka boleh bertanya sendiri kepada doktor yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) apabila tiba giliran mereka kelak dan mengetahui sama ada mereka layak atau sebaliknya, mendapatkan vaksin Covid-19.

"Jangan dengar khabar angin dan mudah mempercayai apa yang disebarkan melalui media sosial. Sebaiknya apabila berasa panik, tarik nafas panjang dan dapatkan maklumat sebenar daripada pihak KKM," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 7:07 PM