GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Penduduk yang bertanggungjawab sewajarnya menerima perancangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) demi kebaikan semua, kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Keluarga) Jabatan Kesihatan Masyarakat , Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Rosnah Sutan.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya seseorang individu itu merasa tergolong dalam kumpulan yang disenaraikan tidak layak menerima vaksin, mereka boleh memaklumkannya kepada petugas kesihatan.

Beliau berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam juga mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

"Malah sebanyak 48 negara memperakui penggunaan vaksin ini secara global. Negara kita bersetuju memberikan kemudahan pencegahan jangkitan wabak Covid-19 dengan mengadakan PICK yang dilancarkan 24 Februari lalu.

"Tujuan utama adalah untuk mengawal penularan penyakit Covid-19 serta mengurangkan risiko keterukan penyakit apabila dijangkiti ataupun jangkitan semula (berulang)," katanya.

Beliau berkata, bilangan populasi yang ramai mendapat vaksinasi akan membentuk antibodi untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian penularan penyakit Covid-19 yang lebih teruk dan melindungi golongan berisiko yang tidak layak menerima vaksinasi seperti disenaraikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, hasil kajian percubaan mendapati vaksin itu adalah selamat untuk semua penduduk berusia 18 tahun ke atas yang layak untuk menerimanya.

"Vaksin ini sudah didaftarkan dan diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari lalu untuk penggunaannya di Malaysia.

"Walaupun sudah divaksinasi, penerima vaksin perlu sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan mengikuti langkah pencegahan penyakit Covid-19.

"Kita tidak pasti imuniti yang dibangunkan boleh tahan berapa lama, jadi terus amalkan SOP bagi kelangsungan ekonomi yang juga penting untuk menjamin kesejahteraan kita," katanya.

Beliau berkata, vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech adalah jenis mRNA yang mana bahan utama adalah mRNA, lipid, gula dan garam yang disuntik sebanyak 0.3 mililiter (ml) untuk satu dos ke dalam otot seperti di otot bahu sebanyak dua dos vaksin dalam selang masa tiga minggu atau 21 hari.

Katanya, kedua-dua dos perlu disuntik bagi memastikan perlindungan optimum dan vaksin akan mula menunjukkan keberkesanan melalui peningkatan antibodi dalam badan bermula hari ke-12 selepas dos pertama diberikan.

"Pembentukan antibodi akan meningkat secara mendadak selepas pemberian dos kedua. Apa pun, kesan sampingan vaksin perlu dipantau seperti vaksin lain juga.

"Proses suntikan juga perlu dilakukan seperti vaksin atau penggunaan ubat cecair lain yang mana jarum berbeza digunakan untuk menyedut vaksin dari bekas vaksin dan ditukar jarum baharu serta lebih kecil saiznya untuk menyuntik kepada manusia.

"Tujuan utama jarum perlu ditukar adalah bagi memastikan tiada jangkitan yang mungkin timbul atas sebab kontaminasi dari penutup getah botol vaksin yang mana jarum tercemar ini mungkin menyebabkan jangkitan pada kulit penerima vaksin," katanya.

Menurutnya, faktor lain adalah untuk mengelakkan kesakitan apabila jarum tumpul selepas ditusuk kepada penutup botol vaksin.

Katanya, saiz dan lubang jarum (lumen) berbeza mengikut warna.

"Jarum bersaiz kecil digunakan semasa suntikan diberikan kepada manusia sama juga prinsip seperti vaksin yang diberikan dalam program imunisasi kebangsaan kanak kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 12:56 PM