Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Seramai 4,670 petugas kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara akan diberi keutamaan menerima suntikan vaksin Covid-19 sebaik peringkat pertama 10,530 dos vaksin berkenaan diterima pasukan keselamatan itu bermula hari ini.

Ia bagi membolehkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 dibuat secara berperingkat ke atas lebih 130,000 warga ATM termasuk kakitangan awam Kementerian Pertahanan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula Rabu ini.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Strategik Vaksin Covid-19/Inspektor Jeneral Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM Datuk Dr Rosman Ab Rahman berkata, keutamaan suntikan akan diberikan kepada anggota yang bertugas di zon merah Covid-19; anggota barisan hadapan termasuk Operasi Benteng (Op Benteng); kawalan sempadan negara serta sekatan jalan raya.

"Pada penghantaran fasa satu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, ATM akan menerima keseluruhan 84,240 dos vaksin berkenaan yang akan diberikan kepada 42,120 anggota dengan setiap anggota menerima dua dos suntikan.

"Daripada jumlah itu, lebih 4,000 petugas kesihatan ATM di seluruh negara diberi keutamaan untuk mendapat suntikan terlebih dahulu.

"Keseluruhan 84,240 dos akan diterima secara berperingkat dalam fasa satu melalui lima Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ATM mencakupi 54 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ATM di seluruh negara ," katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu bersama Pengarah Farmasi Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM Datuk Dr A Halim Basari menerima penghantaran peringkat pertama sebanyak 4,680 dos untuk ATM di 93 Depot Perubatan dan Pergigian ATM (93 DPP AT), Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, di sini.

Anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membawa vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk disimpan di dalam peti sejuk beku khas di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) 93 Depot Perubatan dan Pergigian Angkatan Tentera, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membawa vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk disimpan di dalam peti sejuk beku khas di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) 93 Depot Perubatan dan Pergigian Angkatan Tentera, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Turut hadir, Pengarah Urusan DHL Julian Neo serta tiga wakil syarikat Pfizer.

Menurut Dr Rosman, ATM juga akan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi suntikan vaksin kepada anggota pasukan barisan hadapan lain yang bertugas di Op Benteng termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Katanya, program pemberian vaksin untuk keseluruhan warga ATM dijangka selesai pada Fasa Dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada September ini.

Sementara itu, Dr A Halim dalam ucapan, memaklumkan menerusi lima penghantaran pertama untuk tempoh dua bulan ini, sejumlah 10,530 dos bakal diterima untuk semua PSV ATM yang akan diberikan kepada 5,265 penerima kategori kumpulan utama 1 iaitu petugas kesihatan barisan hadapan termasuk kakitangan awam.

"Terdapat empat lagi penghantaran bakal diterima secara berperingkat sehingga penghujung Mac ini, mencakupi baki 73,710 dos bersamaan dengan 36,855 penerima kategori kumpulan utama 2 iaitu petugas barisan hadapan merangkumi perkhidmatan penting (essential) dan pertahanan.

"Jumlah keseluruhan dos yang bakal diterima oleh ATM untuk Fasa 1 adalah sebanyak 84,240 dos bersamaan dengan 42,120 penerima kategori kumpulan utama 1 dan kumpulan utama 2," katanya.

Katanya, untuk hari ini, pasukan 93 Depot 93 DPP AT menerima 4,680 dos untuk 2,340 penerima yang akan diagihkan dan diberikan kepada petugas kesihatan ATM terlebih dahulu.

"Seterusnya, 94 HAT Terendak dan 96 HAT Lumut akan menerima penghantaran berikutnya, masing-masing berjumlah 2,340 dos.

"HAT Wilayah Kota Kinabalu ((WKK) akan menerima sebanyak 1,170 dos pada 25 Februari ini, manakala 801 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Kuching pula akan menerima sejumlah 7,020 dos pada 8 Mac," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 2:30 PM