FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Dua lelaki rugi hampir RM73,000 selepas menyerahkan nombor Kod Kebenaran Transaksi (TAC) kepada individu tidak dikenali dalam kejadian berasingan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima laporan daripada dua mangsa, semalam, berhubung insiden menimpa mereka itu.

Menurutnya, mangsa pertama berusia 40 tahun kerugian RM13,579 manakala mangsa kedua yang juga seorang pesara berusia 61 tahun kerugian RM59,000.

"Mangsa pertama yang juga pekerja swasta memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada individu kononnya pegawai khidmat pelanggan dari syarikat aplikasi kewangan, BigPay.

"Mangsa dimaklumkan dia perlu menukar kad bank yang mempunyai pautan dengan akaun BigPay baharu bagi membolehkan berbelanja tanpa had hingga menyerahkan maklumat perbankan serta nombor TAC kepada suspek.

"Bagaimanapun, pihak bank kemudian memaklumkan wang miliknya sebanyak RM13,579 dipindahkan ke dalam akaun lain," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata, bagi kes kedua mangsa memaklumkan dia menerima panggilan daripada individu kononnya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Alor Setar, Kedah.

Beliau berkata, 'pegawai LHDN) itu memberitahu mangsa ada tunggakan cukai syarikat atas namanya sebelum panggilan disambungkan kepada individu kononnya polis selepas mangsa menafikan hal itu.

"Kemudian suspek memberitahu mangsa terbabit aktiviti pengubahan wang haram sebelum diminta menyerahkan maklumat perbankan hingga mangsa yang ketakutan lalu menyerahkan nombor TAC dan mendapati wang RM59,000 lesap dari akaun banknya," katanya.

"Polis kini sedang menjalankan siasatan ke atas kedua-dua kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 8:06 PM