GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan

Alor Setar: Bermodalkan air liur, sindiket yang menyamar sebagai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengikis wang pembantu kedai dobi hingga menyebabkan mangsa kerugian RM23,900.

Susulan itu, mangsa berusia 23 tahun membuat laporan di Balai Polis Hi Tech, Kulim semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket/Siber) Kedah, Deputi Superintendan Mohd Ridzuan Nor Ihsan berkata, kejadian bermula selepas mangsa menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa pegawai LHDN Kedah.

Katanya, suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai dan namanya disalahgunakan untuk pendaftaran syarikat selain turut menasihati mangsa membuat laporan polis.

"Suspek kemudian menyambung talian itu kepada 'polis' kononnya untuk memudahkan mangsa membuat laporan menafikan dakwaan berkenaan.

"Selain itu, mangsa juga diminta membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia oleh sindiket terbabit dengan alasan untuk perlindungan akaun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, mangsa hanya menurut perintah apabila diminta menyerahkan ID dan kata laluan internet perbankan, Kod Pengesahan Transaksi (TAC) dan nombor kad ATM dengan alasan untuk siasatan.

"Mangsa bagaimanapun menyedari ditipu apabila mendapati sejumlah RM23,900 dalam akaun banknya lesap dan membuat laporan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 7:45 PM