GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Shahrinnahar Latib


Rompin: Seorang pesara menanggung kerugian RM41,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Dalam kejadian 7 Mac lalu, mangsa berusia 61 tahun dihubungi seorang individu mengaku pegawai LHDN dan mendakwa mangsa mempunyai syarikat didaftarkan atas namanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menafikan dakwaan berkenaan sebelum suspek meminta nombor kad pengenalan warga emas itu untuk tujuan semakan.

Beliau berkata, selepas itu panggilan disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPK) Kuantan sebelum dimaklumkan hasil semakan mendapati mangsa terbabit dengan penggubalan wang haram dan kes dadah.

"Mangsa kemudian diarahkan memberikan nama dan kata lalun perbankan Internet miliknya kepada suspek kedua kononnya untuk siasatan.

"Mangsa kemudian mengikut segala arahan diberikan serta menyerahkan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada suspek.

"Mangsa yang keliru terus saja mengikut arahan suspek, namun semalam membuat semakan di dua bank dan mendapati wang simpanannya berjumlah RM41,000 lesap dipindahkan ke dalam akaun tidak dikenali," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa cuba menghubungi suspek namun mendapati talian sudah disekat, sebelum membuat laporan di IPD Rompin, semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis sedang mengesan nombor digunakan suspek serta pemilik akaun bank digunakan dalam kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 5:38 PM