GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Padah menyerahkan maklumat perbankan dan kod verifikasi kepada individu kononnya seorang anggota polis menyebabkan wang simpanan berjumlah RM70,000 milik pekerja swasta di Mak Mandin, di sini, lesap sekelip mata.

Insiden bermula apabila wanita berusia 49 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa pegawai sebuah syarikat telekomunikasi dengan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat berjumlah RM1,188.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada individu lain yang mendakwa pula sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan menyatakan mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram.

"Mangsa yang panik mengikut arahan supaya tidak memaklumkan perkara itu kepada sesiapa dan diminta menyerahkan maklumat akaun dan kod verifikasi (TAC atau OTP) bagi siasatan lanjut.

"Selepas itu mangsa dapati wang dalam akaun bank miliknya berkurangan melalui transaksi yang dipercayai dilakukan oleh suspek.

"Mangsa juga memindahkan separuh wang miliknya ke akaun bank lain dengan mempercayai ia adalah untuk siasatan. Secara keseluruhannya sebanyak RM70,000 hilang sebelum mangsa sedar dirinya terperangkap dalam penipuan sindiket Macau Scam," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa hadir membuat laporan polis semalam untuk tindakan selanjutnya.

"Polis kini sedang menjalankan siasatan terhadap nombor akaun bank suspek.

"Kita menasihatkan orang awam supaya berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon kerana polis tidak pernah berurusan dengan orang awam melalui telefon dan meminta maklumat perbankan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 11:51 AM