Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad


WANG RM50,000 milik seorang ahli perniagaan di Butterworth lesap selepas percaya kepada sindiket yang menyamar sebagai polis dan mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), semalam.

Mangsa lelaki berusia 53 tahun itu didakwa menerima panggilan telefon menyatakan syarikatnya di Kelantan memiliki tunggakan cukai dengan LHDN dan perlu menyelesaikannya secepat mungkin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa kemudian memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai sebarang syarikat di negeri itu sebelum panggilannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk buat laporan.

"Selepas disoal siat oleh beberapa polis dari IPK Kelantan, mangsa memberikan maklumat akaun bank serta kata laluan untuk tujuan siasatan selanjutnya samaada mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram.

"Mangsa juga turut menyerahkan nombor TAC kepada suspek yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner bahkan mangsa juga diugut untuk tidak menceritakan hal ini kepada sesiapa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa sedar dirinya ditipu selepas menerima notifikasi melalui e-mail bahawa terdapat pindahan wang dari akaun bank miliknya.

"Mangsa terus membuat semakan dan mendapati wang berjumlah RM50,000 dalam akaun banknya sudah berkurangan kerana dipindahkan ke akaun bank milik individu tidak dikenali.

"Seterusnya mangsa terus membuat laporan polis sama pada hari kejadian untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, seorang penganggur berusia 23 tahun turut menjadi mangsa penipuan apabila mengalami kerugian RM13,000.

Jelasnya, kejadian bermula apabila mangsa wanita mengenali seorang lelaki di dalam laman sosial Instagram pada bulan lalu dan terpedaya dengan kata-kata manis suspek.

"Suspek mengatakan mahu mengirimkan barangan berjenama sebagai hadiah sempena hari ulang tahun kelahiran mangsa.

"Bagaimanapun, mangsa mendapat panggilan kononnya dari ajen penghantaran memaklumlan barangan itu sudah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi mangsa perlu membuat pembayaran untuk pelepasan barangan berkenaan.

"Tidak mengesyaki apa-apa kerana teruja, mangsa terus membuat pindahan wang sebanyak empat kali berjumlah RM13,000. Mangsa sedar ditipu apabila diminta membuat bayaran sebanyak RM50,000 lagi. Oleh itu dia datang membuat laporan semalam," katanya.

Tambah beliau, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 3:08 PM