Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Seorang pekerja swasta, di sini, berputih mata selepas wang simpanan RM32,400 miliknya lesap ditipu sindiket penyamaran sebagai pegawai kerajaan melalui panggilan telefon.

Mangsa wanita berusia 21 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa kononnya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pegawai itu memaklumkan syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,600.

"Mangsa menafikan yang dia mempunyai syarikat persendirian sebelum panggilannya disambungkan kepada pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar, Kedah.

"Pegawai polis itu kemudian mendakwa akaun bank mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram di mana akaun bank mangsa akan dibekukan untuk tujuan siasatan selanjutnya.

"Mangsa yang panik mengikut arahan dan menyerahkan maklumat perbankan termasuk nombor kod verifikasi (TAC) sebelum dia menerima mesej dari pihak bank memaklumkan wang berjumlah RM32,400 dalam akaunnya dipindahkan ke akaun yang lain," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa sedar dirinya ditipu apabila dia gagal menghubungi semula pegawai berkenaan.

"Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai diminta berwaspada dan tidak sesekali menyerahkan maklumat perbankan secara dalam talian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 7:57 PM