ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat lelaki yang tersepit dan terbakar selepas keretanya terbabas melanggar pokok di Jalan Sungai Jai, Lenggeng, Nilai. FOTO ihsan Polis
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat lelaki yang tersepit dan terbakar selepas keretanya terbabas melanggar pokok di Jalan Sungai Jai, Lenggeng, Nilai. FOTO ihsan Polis
Ahmad Hasbi


Nilai: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dinaiki terbabas sebelum terbakar di Jalan Sungai Jai, Lenggeng, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 33 tahun itu ditemui rentung selepas tersepit dalam kenderaannya yang terbakar hampir 100 peratus selepas melanggar sebatang pokok di lokasi kejadian pada jam 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Mantin menuju ke arah Kuala Lumpur sebelum kenderaan dinaiki terbabas.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Saga FLX yang dipandu lelaki terbabit hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebatang pokok.

"Difahamkan impak pelanggaran menyebabkan kereta dinaiki mangsa terbakar. Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan rentung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 2:14 PM